Tuesday, 11 December 2012

MANISNYA UKHUWAH BERASASKAN IMAN


MANISNYA UKHUWAH BERASASKAN IMAN….
Persahabatan dibina atas semangat tulus ikhlas, cintakan Tuhan Yang Satu….
Ikatan persahabatan tulus dan ikhlas berbeza dengan cara sama dilakukan bukan Muslim kerana silaturahim dibina kerana Allah SWT lebih kuat dan teguh. Ia disebabkan iman setiap mukmin kepada Allah SWT disambungkan kepada saudara seagama menjadikan tautan hati dan jiwa, akal dan rohani yang tiada taranya.
Sebab itulah ada persahabatan yang erat dan berpanjangan melebihi hubungan persaudaraan. Setiap mukmin memiliki ikatan hati yang sangat kuat kerana ukhuwah disebabkan cinta kepada Allah SWT.
Mereka saling mengingatkan antara satu sama lain, berkongsi rasa, duka, apatah lagi gembira dan suka. Daripada hubungan persahabatan, manisnya iman dapat dirasa sehingga ada yang berubah pendirian dan sikap untuk lebih menghampiri Penciptanya. 
Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga hal yang apabila ada pada seseorang, nescaya dia akan merasakan manisnya iman, menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain. Dan apabila menyintai seseorang, dia tidak menyintainya melainkan kerana Allah SWT. Dan dia enggan kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya seperti dia enggan dilemparkan ke neraka.”
Orang yang merasai manisnya iman sukar untuk berkongsi apa yang dirasai dengan orang lain melainkan perasaan sama turut dialami. Nabi Muhammad SAW yang digelar kekasih Allah adalah manusia paling dekat hatinya dengan Allah kerana baginda menyintai Allah melebihi dari yang lainnya.
Baginda sanggup menghadapi apa jua bahaya dan bencana semata-mata untuk mempertahankan agama serta mesej yang dibawa dari Allah Yang Maha Esa.
Umat Islam pula akan merasai manisnya iman dengan menyintai Allah dan Rasul S.A.W  lebih dari segala-galanya. Bayangkan jika seseorang wanita menyintai suaminya tanpa berbelah bahagi sehingga sanggup meninggalkan agama, keluarga dan tanah air untuk sentiasa berada di sisi suami tercinta.
Itulah tanda cinta yang tiada bandingannya. Situasi serupa juga perlu dirasai jika kita menyintai Allah dan Rasul, sehingga cinta itu tidak terungkap dengan  kata-kata, sebaliknya kita akan sentiasa gembira dan tenang apabila mendampingi Allah dan Rasul.
Setiap mukmin yang menjalin persahabatan sesama saudara seagama perlu mengambil kesempatan untuk merasai manisnya iman dengan membina ukhuwah dan menyintai sahabat kerana Allah SWT.
Walaupun tiada di depan mata, silaturahim tetap terbina dengan ikatan hati yang kukuh jika kita sentiasa menghampiri-Nya. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara.” 
(Surah Al-Hujurat, ayat 10 )

2 comments: