Tentang Lidah
KATA Imam al-Ghazali, lidah antara nikmat
Allah SWT yang besar dan antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah
mempunyai bentuk yang indah, kecil dan menarik.
Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata:
“Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan
kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar
pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah.
Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan
manusia.”
Daripada kata Imam al-Ghazali itu jelas
menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana
lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga boleh dihumban kita ke
neraka.
Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan
dan keburukan dalam hidup manusia, kita perlu sentiasa berwaspada menggunakan
lidah sewaktu bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak menggunakan
lidah apabila bercakap.
Sekiranya kata yang kita ucapkan boleh
menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh
mendatangkan keburukan kepada kita. Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan
binasa.
Justeru, sebelum kita berkata sesuatu
hendaklah berfikir terlebih dulu. Kita gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang
baik dan tidak sia-sia atau lebih baik lagi kita diam. Itu lebih memberi
manfaat daripada kita berkata perkara yang boleh mendatangkan dosa.
Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada
berfaedah.
Daripada Abu Hurairah diriwayatkan Nabi
Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: “Siapa beriman kepada Allah dan hari
akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadis riwayat Imam
Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda
yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi
pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)
Menurut Rasulullah SAW ada tiga jenis
manusia, iaitu yang mendapat pahala, selamat daripada dosa dan binasa.
Orang yang mendapat pahala sentiasa
mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang
selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa
sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan
baik.
Kita dapat mengenal peribadi seseorang
daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang
baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor
dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.
Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi
dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab
terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Taqwa
kepada Allah dan akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang
membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, “Dua rongga badan iaitu
mulut dan kemaluan.”
Tahniah,blog yg menarik dan berinformasi (Rodziah Abd Rahman)
ReplyDeleteTerima kasih...
ReplyDeleteSangat menarik. Tahniah, hasil yg memberangsangkan. Moga anak2 didik kita serta pembaca mendapat manfaat dr blog ini.
ReplyDeleteTerima kasih Yani. Itulah nawaitu sebenarnya apabila terhasilnya blog ini..
ReplyDelete