Wednesday, 28 November 2012

Guru oh guru



GURU OH GURU

Dialah pemberi paling setia, Tiap akar ilmu miliknya, Pelita dan lampu segala, Untuk manusia sebelum menjadi dewasa; Dialah ibu, dialah bapa juga sahabat, Alur kesetiaan mengalirkan nasihat, Pemimpin yang ditauliahkan, Seribu tahun katanya menjadi hikmat; Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa, Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta, Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara, Jika hari ini seorang ulama yang mulia, Jika hari ini seorang peguam menang bicara, Jika hari ini seorang penulis terkemuka, Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa, Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca; Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya, Di sebuah sekolah mewah di ibu kota, Di bangunan tua sekolah hulu Terengganu, Dia adalah guru mewakili seribu buku, Semakin terpencil hidupnya di ceruk desa, Semakin bererti tugasnya kepada negara; Jadilah apa pun pada akhirnya kehidupanmu, guruku, Budi yang diapungkan di dulang ilmu, Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat, Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Tentang Lidah

Tentang  Lidah    
KATA Imam al-Ghazali, lidah antara nikmat Allah SWT yang besar dan antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah mempunyai bentuk yang indah, kecil dan menarik.

Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata: “Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”

Daripada kata Imam al-Ghazali itu jelas menunjukkan kepada kita besarnya peranan lidah dalam kehidupan manusia kerana lidah kita boleh masuk syurga dan kerana lidah juga boleh dihumban kita ke neraka.

Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, kita perlu sentiasa berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak menggunakan lidah apabila bercakap.
Sekiranya kata yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepada kita. Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan binasa.

Justeru, sebelum kita berkata sesuatu hendaklah berfikir terlebih dulu. Kita gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang baik dan tidak sia-sia atau lebih baik lagi kita diam. Itu lebih memberi manfaat daripada kita berkata perkara yang boleh mendatangkan dosa. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah.

Daripada Abu Hurairah diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)

Menurut Rasulullah SAW ada tiga jenis manusia, iaitu yang mendapat pahala, selamat daripada dosa dan binasa.

Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik.

Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.

Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.”

Kisah Pemotong Kayu Yang Jujur


Kisah pemotong kayu yang jujur

Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggalnya seorang pemotong kayu yang tua dan miskin. Adapun kemampuannya hanyalah mencari rezeki dengan menebang pokok yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman hidup saban hari tanpa dikurniakan anak.

Dijadikan cerita, takdirnya pada suatu pagi, pergilah si tua tersebut jauh ke hutan untuk menebang pokok untuk dibuat kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini si isteri tidak dapat menemani si suami kerana sakit.


Maka ke hutanlah si tua seorangan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api. Seharianlah si tua menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur seuzur usianya. Sehinggalah kepenatan tidak jua dia berhenti.


Tiba-tiba genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari tangannya lalu termasuk kedalam sungai yang dalam. Menangis sayulah si tua kerana kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki. Hendak terjun mencari takut disambar arus, merataplah ia mengenangkan nasib.


Maka bersimpatilah pari-pari dilangit melihat kegundahan si tua tersebut lalu turunlah ia bertanya, "Wahai orang tua. Kenapa bersedih hati?"


Dengan nada perasaan takut dan terkejut, orang tua tersebut menceritakan apa yang berlaku.


"Baiklah, akan kubantu mencari kapak engkau yang tenggelam." Lalu dengan serta merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai. Selang beberapa minit timbul lah kembali si pari-pari sambil mebawa kapak emas lalu dihulur kepada situa. Dengan sedih, jawab situa, "Bukan. Ini bukan kepunyaan hamba. Tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini."


Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak. Tidak jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga si tua itu menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur.


Maka apabila terpandang akan kapak itu, giranglah hatinya kerana itulah kapak miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. Sebagai balasan kejujurannya kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.


Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan kepada isterinya apa yang berlaku. Si isteri turut bergembira dengan kejujuran suaminya.


Keesokan harinya isteri si tua itupun sihat.

BELALANG YANG DEGIL




BELALANG YANG DEGIL
Di dalam sebuah taman bunga, terdapat seekor belalang yang suka menyanyi dan menari. Ia berasa gembira kerana dapat hidup di dalam taman yang indah itu. Di dalam taman itu terdapat juga berbagai-bagai jenis bunga seperti bunga raya, mawar, dahlia, kenanga, melur dan cempaka. Taman bunga itu berwarna-warni dan harum.

Tiap-tiap hari, belalang akan menyanyi dan menari. Ia akan melompat dari satu pokok ke pokok yang lain. Belalang mempunyai ramai teman di dalam taman itu. Ada rama-rama, kumbang, lebah dan semut. Mereka dapat tinggal di taman itu. Mereka sering bermain dan menyanyi bersama-sama.

Pada suatu hari, belalang mencari kesemua rakan-rakannya untuk bermain tetapi mereka semua sedang sibuk mencari makanan dan berpindah untuk berlindung sebelum musim hujan tiba. Belalang tidak percaya hujan akan tujun sebentar lagi. Ia asyik menyanyi dan menari sendirian. Setelah lama menyanyi, belalang pulang ke rumah dan tidur kerana keletihan.

Hujan turun dengan lebat lalu belalang terbangun. Ia berasa sangat lapar tetapi di rumahnya tiada makanan.“ Bila hujan berhenti bolehlah saya mencari makanan,” katanya dalam hati. Belalang berbaring semula dan tertidur. Apabila dia terjaga, hujan tetap turun dengan lebat.

Belalang berasa menyesal kerana tidak mengikut nasihat rakannya untuk mencari makanan sebelum musim hujan. Akhirnya belalang jatuh sakit. Rakan-rakan belalang tidak mengetahui keadaan belalang yang sakit.

Apabila hujan berhenti,lebah teringat akan belalang. Dia keluar dari sarangnya dan pergi ke rumah belalang. Ia amat terperanjat melihat belalang yang terlantar di atas katil di rumah. “Saya akan membawa makanan,” kata lebah kepada belalang apabila melihat belalang terlalu lemah dan pucat. Lebah mencari semut dan rakannya yang lain untuk menolong belalang.

Akhirnya belalang sembuh dan sihat. Belalang insaf dan sering mendengar nasihat daripada rakannya.

Tuesday, 27 November 2012

Hadis



عن ابن عباس رضي الله عنه ان النبي صلى الله عليه وسلم قال: إِيَاكُمْ وَالزِّنَافَإِنَّ فِيهِ أَرْبَعَ خِصَالٍ يُذْهِبُ الْبَهَاءَ عَنِ الْوَجْهِ ، وَيَقْطَعُ الرِّزْقَ ، وَيُسْخِطُ الرَّحْمَنَ ، وَالخُلُودَ فِى النَّارِ (الطبرانى فى الأوسط ، وابن عدى ، وفيه عمرو بن جميع وهو متروك)

Maksudnya: Jauhilah zina maka sesungguhnya padanya ada empat kesan; menghilangkan cahaya pada wajah, memutuskan rezeki, dan menyebabkan kemarahan dan kebencian akan tuhan yang Rahman sekali gus mengekalkannya ke dalam neraka. (Riwayat Tabrani)

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنَ الزِّنَى مُدْرِكٌ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الاِسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلاَمُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ.
Maksudnya: Ditetapkan bagi setiap keturunan Adam bahagian daripada perzinaan yang pasti diperolehnya, tidak boleh dielak: Maka dua buah matanya melakukan perzinaan dengan memandang, dan dua buah telinga melakukan perzinaan dengan mendengar dan lidah melakukan perzinaan dengan bercakap, dan tangan melakukan perzinaan dengan pikulannya/serangan dan kaki melakukan perzinaan dengan melangkah dan hati turut melakukan perzinaan dengan nafsu menyukai dan mengharapkan dan membenarkan yang demikian itu oleh kemaluan dan menolakkannya. (Riwayat Muslim)

عَنْ أَبِي سعيدٍ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ وَلاَ يُفْضِى الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِى ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَلاَ تُفْضِى الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِى الثَّوْبِ الْوَاحِدِ.

Maksudnya: Tiada seharusnya lelaki memandang aurat lelaki, tidak juga wanita melihat aurat wanita, dan tidak harus juga bersentuhan lelaki akan lelaki dalam satu pakaian dan tidak juga harus bersentuhan wanita akan wanita dalam satu pakaian. (Riwayat Muslim)

عن أبي سعيد و ابن عباس قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم:
 من ولد له ولد فليحسن اسمه وأدبه فإذا بلغ فليزوجه فإن بلغ و لم يزوجه فأصاب إثما فإنما إثمه على أبيه

Maksudnya: Sesiapa yang dilahirkan untuknya anak maka elokkanlah nama dan adabnya, dan apabila ia mencapai baligh maka kahwinkannya, maka jika sudah baligh tetapi belum dinikahkannya maka tatkala dia melakukan dosa maka dosanya tertanggung ke atas bapanya. (Riwayat Baihaqi)


عن حسين قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "من ولد له ولد فأذن في أذنه اليمنى وأقام في أذنه اليسرى لم تضره أم الصبيان".
رواه أبو يعلى وفيه مروان بن سالم الغفاري وهو متروك.

Maksudnya: sesiapa yang dilahirkan anak untuknya maka azankan pada telinga kanannya dan diiqamatkan pada telinga kirinya nescaya tidak diganggu oleh ibu budak (syaitan). (Riwayat abu Ya’la)

عَنْ مِقْدَامَ بْنِ مَعْدِيكَرِبَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ : مَا أَكَلَ أَحَدٌ مِنْ بَنِى آدَمَ طَعَامًا خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدَيْهِ إِنَّ نَبِىَّ اللَّهِ دَاوُدَ كَانَ يَأْكُلُ مِنْ كَسْبِ يَدَيْهِ. رَوَاهُ الْبُخَارِىُّ فِى الصَّحِيحِ عَنْ إِبْرَاهِيمَ بْنِ مُوسَى.

Maksudnya: Tidaklah yang dimakan oleh seseorang dalam kalangan anak Adam akan satu makanan yang lebih baik untuknya daripada yang dimakan hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya nabi Allah Daud makan hasil usaha tangannya sendiri. (Riwayat al-Bukhari)

عن أبى هريرة رضى الله عنه عن نبي صلى الله عليه وسلم قال: يأتى على الناس زمان ما يبال الرجل من أين أصاب المال من حلال أو حرام
أخرجه النسائى (7/243 ، رقم 4454) .

Maksudnya: Akan dialami oleh manusia satu zaman yang lelaki tidak kisah dari mana dia dapat harta sama ada halal atau haram. (Riwayat Nasai)

عن أبي هريرة رضي الله عنه  :أنَّ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم قال :يأتي على الناس زمان لا يُبالي المرءُ ما أخذَ منه : أمِنَ الحلال ، أم من الحرام ؟  أخرجه البخاري والنسائي.

Maksudnya: Akan dialami oleh manusia suatu zaman yang seseorang itu tidak peduli apa yang dia dapat daripadanya; adakah daripada yang halal atau daripada yang haram. (Riwayat Bukhari dan Nasai.)

عن أنس رضي الله عنه  :أنَّ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم قال : يأتى على الناس زمان يحج أغنياء أمتى للنزهة وأوساطهم للتجارة وقراؤهم للرياء والسمعة وفقراؤهم للمسئلة (الديلمى أخرجه الخطيب)

Maksudnya: Akan dialami oleh manusia suatu zaman yang orang kaya dalam kalangan umatku mengerjakan haji untuk melancong, orang pertengahan dalam kalangan mereka pergi untuk berniaga, orang cerdik pandai dalam kalangan mereka pergi untuk riak dan sum’ah dan orang miskin dalam kalangan mereka pergi untuk menyelesaikan masalah (minta sedekah dll). (Riwayat Al-Dailami)