MANISNYA UKHUWAH BERASASKAN IMAN….
Persahabatan dibina atas semangat tulus ikhlas, cintakan
Tuhan Yang Satu….
Ikatan persahabatan tulus dan ikhlas
berbeza dengan cara sama dilakukan bukan Muslim kerana silaturahim dibina
kerana Allah SWT lebih kuat dan teguh. Ia disebabkan iman setiap mukmin kepada
Allah SWT disambungkan kepada saudara seagama menjadikan tautan hati dan jiwa,
akal dan rohani yang tiada taranya.
Sebab itulah ada
persahabatan yang erat dan berpanjangan melebihi hubungan persaudaraan. Setiap
mukmin memiliki ikatan hati yang sangat kuat kerana ukhuwah disebabkan cinta
kepada Allah SWT.
Mereka saling mengingatkan antara
satu sama lain, berkongsi rasa, duka, apatah lagi gembira dan suka. Daripada
hubungan persahabatan, manisnya iman dapat dirasa sehingga ada yang berubah
pendirian dan sikap untuk lebih menghampiri Penciptanya.
Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga hal yang
apabila ada pada seseorang, nescaya dia akan merasakan manisnya iman,
menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada yang lain. Dan apabila
menyintai seseorang, dia tidak menyintainya melainkan kerana Allah SWT. Dan dia
enggan kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya seperti dia
enggan dilemparkan ke neraka.”
Orang yang merasai manisnya iman
sukar untuk berkongsi apa yang dirasai dengan orang lain melainkan perasaan
sama turut dialami. Nabi Muhammad SAW yang digelar kekasih Allah adalah manusia
paling dekat hatinya dengan Allah kerana baginda menyintai Allah melebihi dari
yang lainnya.
Baginda sanggup menghadapi apa jua
bahaya dan bencana semata-mata untuk mempertahankan agama serta mesej yang
dibawa dari Allah Yang Maha Esa.
Umat Islam pula akan merasai manisnya iman dengan menyintai
Allah dan Rasul S.A.W lebih dari
segala-galanya. Bayangkan jika seseorang wanita menyintai suaminya tanpa
berbelah bahagi sehingga sanggup meninggalkan agama, keluarga dan tanah air
untuk sentiasa berada di sisi suami tercinta.
Itulah tanda cinta yang tiada
bandingannya. Situasi serupa juga perlu dirasai jika kita menyintai Allah dan
Rasul, sehingga cinta itu tidak terungkap dengan kata-kata, sebaliknya kita akan sentiasa
gembira dan tenang apabila mendampingi Allah dan Rasul.
Setiap mukmin yang menjalin
persahabatan sesama saudara seagama perlu mengambil kesempatan untuk merasai
manisnya iman dengan membina ukhuwah dan menyintai sahabat kerana Allah SWT.
Walaupun tiada di
depan mata, silaturahim tetap terbina dengan ikatan hati yang kukuh jika kita
sentiasa menghampiri-Nya. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara.”
(Surah Al-Hujurat, ayat 10 )